Belia Sarawak Perlu Jadi Pencipta, Wujud Peluang Pekerjaan
SIBU: Golongan belia Sarawak perlu berani beralih daripada sekadar menjadi pengguna kepada pencipta produk dan peluang pekerjaan bagi memastikan mereka mampu memacu ekonomi baharu negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perubahan landskap ekonomi dunia menuntut generasi muda menguasai pengetahuan serta teknologi baharu, di samping berani mengambil risiko yang terhitung.
“Jadi, kita hendaklah menjadi pencipta yang mewujudkan peluang pekerjaan. Ambil risiko yang terhitung kerana jika tidak, kita tidak boleh bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tritahunan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Ke-18, di sini pada Ahad.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, golongan belia perlu memanfaatkan kekuatan yang dimiliki Sarawak dalam pelbagai bidang seperti pertanian moden, tenaga bersih, teknologi digital dan industri berasaskan semikonduktor.
Beliau berkata, perkembangan teknologi turut menyediakan ruang luas kepada generasi muda untuk menghasilkan inovasi baharu serta memperluas pasaran produk dari Sarawak ke peringkat serantau dan Asia Timur.
“Perhimpunan hari ini terpaksa mengambil kira kekuatan yang ada pada Sarawak. Keduanya ialah untuk melahirkan anak belia bukan sahaja untuk memainkan peranan, tetapi untuk mencipta sesuatu yang baharu bagi memartabatkan Sarawak sebagai pemain global dalam ekonomi dunia.
“Maka, saya sebutkan kritikal kerana masa depan adalah dalam tangan belia. Jika anda melakukan dengan baik dan mencipta produk baharu, anda pasti berjaya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak berkata pembangunan modal insan muda perlu diberi keutamaan bagi memastikan negeri mempunyai tenaga kerja berkemahiran yang mampu memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Katanya, antara usaha kerajaan Sarawak ialah menyediakan pendidikan percuma di universiti milik negeri kepada pelajar yang layak dan diterima mengikuti 64 disiplin pengajian.
Beliau berkata, Sarawak juga perlu terus membangunkan platform ekonomi baharu bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta mengurangkan penghijrahan bakat muda ke luar negara.
Beliau turut menggesa golongan belia supaya tidak takut untuk menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), sebaliknya menggunakan kemajuan teknologi secara bijak dengan pertimbangan dan pemikiran manusia.
Hadir sama, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Presiden SABERKAS Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Timbalan Presiden SABERKAS Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Naib Presiden SABERKAS Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) merangkap Naib Presiden SABERKAS Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Setiausaha Agung SABERKAS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr. Safiee Ahmad. -EDISI UKAS