Lawatan SPANS Ke Pusat Sains Sarawak Dalami Peranan Galak Minat STEM
KUCHING: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) mengadakan lawatan ke Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) bagi memahami dengan lebih dekat peranan pusat berkenaan dalam memupuk minat masyarakat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Pengerusi SPANS Datu Kameri Affandi berkata, lawatan tersebut bertujuan memberi pemahaman lebih mendalam mengenai peranan, matlamat serta pendekatan SSCiEX dalam menarik minat masyarakat Sarawak, khususnya kanak-kanak, terhadap bidang STEM.
“Tujuan kami ke SSCiEX adalah untuk memahami dengan lebih dekat peranannya kepada masyarakat Sarawak.
“Kami ingin memahami dengan lebih mendalam peranan, tujuan dan pendekatan pusat ini dalam menarik minat masyarakat terhadap bidang STEM,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak di SSCiEX pada Isnin.
Menurut beliau, ilmu dan pengalaman yang diperoleh menerusi lawatan itu juga boleh dimanfaatkan dalam sesi temu duga, termasuk membantu calon memahami dan membincangkan peranan pusat tersebut.
Beliau turut berharap SSCiEX terus memberi manfaat kepada masyarakat Sarawak, khususnya kanak-kanak, dalam meningkatkan minat terhadap bidang sains.
“Kita amat berharap Pusat Sains Sarawak dapat memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya kanak-kanak, supaya lebih ramai yang berminat dan seterusnya berjaya dalam bidang sains.
“Kita mahu mereka mampu mencipta pelbagai inovasi, contohnya robotik, kenderaan elektrik (EV) dan sebagainya,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi SPANS Datu Antonio Kahti Galis serta Ahli-Ahli SPANS Datu Ismail Mohamad Hanis, Datu Nicholas Sia, Datu Jack Aman Luat, Datu Ir Lau Hieng Ung, Dato Abdul Rahman Sebli Senusi @ Logo, Datu Sherrina Hussaini, Dr Ahi Sarok, Yussibnosh Balo dan Alexander Vincen.-EDISI UKAS