Mesyuarat Penyelarasan Perkukuh Persiapan SKS Mukah
MUKAH: Persiapan penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah diperkukuh menerusi Mesyuarat Penyelarasan yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Mukah), di sini, pada Isnin.
Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Bahagian Program SKS 2026 (Zon Tengah) Datu Hii Chang Kee serta dihadiri barisan ketua dan wakil agensi pelaksana.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Mukah Rahman Bujang Seli, bersama wakil pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam penganjuran program berkenaan.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk penyelarasan gerak kerja antara agensi, perancangan pengisian program serta aspek logistik bagi memastikan keseluruhan penganjuran berjalan lancar.
Mesyuarat turut menyaksikan pembentangan oleh ahli-ahli jawatankuasa bagi mengemas kini status gerak kerja, selain menilai tahap kesiapsiagaan setiap agensi menjelang pelaksanaan SKS 2026 di bahagian berkenaan.
Dalam pada itu, Datu Hii berharap segala perancangan dan persiapan yang dilaksanakan oleh jawatankuasa dapat berjalan lancar serta mengikut garis masa yang telah ditetapkan.
Program SKS 2026 Bahagian Mukah akan berlangsung di Dataran Pehin Setia Raja, Mukah dan dijadual dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 29 Ogos ini.
Pelbagai pengisian menarik turut disusun sepanjang program berkenaan, antaranya pameran, penyampaian perkhidmatan oleh agensi kerajaan, aktiviti keusahawanan, sukan rakyat serta pentas hiburan rakyat. -EDISI UKAS