Kontinjen Sarawak Diseru Tampil Semangat Juang Tinggi Pertahan Kejuaraan SUKMA & Para SUKMA
KUCHING: Kontinjen Sarawak digesa menampilkan semangat juang tinggi dalam usaha mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada Sukan Malaysia Ke-22 (SUKMA XXII) dan Para SUKMA XXII Selangor 2026.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sasaran utama kontinjen adalah mempertahankan status Sarawak sebagai juara susulan kejayaan pada temasya terdahulu, dan setiap atlet perlu memainkan peranan untuk mencapai sasaran tersebut.
Walaupun menekankan bahawa atlet perlu memasuki setiap pertandingan dengan keazaman untuk menang tanpa menjadikan ganjaran sebagai pencetus motivasi, beliau turut memberi bayangan bahawa pengorbanan mereka dalam memburu kejayaan pada temasya itu akan diberikan penghargaan sewajarnya.
“Kalau sedemikian, sudah tentu sekali kalau atlet kita dapat mengekalkan gelaran juara keseluruhan, faham-fahamlah kerana Dato Sri Abdul Karim dan Dato Sri Fatimah telah berbincang.
“Faham-fahamlah, tetapi yang paling penting ialah Sarawak mesti menang,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke Temasya SUKMA XXII dan Para SUKMA XXII Selangor 2026, di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Kontinjen Sarawak menyasarkan 75 pingat emas bagi SUKMA XXII, manakala kontinjen Para SUKMA Sarawak pula menyasarkan 70 pingat emas untuk keseluruhan temasya Para SUKMA XXII.
Hadir sama ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Chef de Mission (CDM) Kontinjen SUKMA Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap CDM Kontinjen Para SUKMA Sarawak Datuk Dr Mohammad Razi Sitam, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Mua’zamir Jili, Ketua-Ketua Jabatan serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS