Sarawak Mahu Tingkatkan Standard Sukan Setanding New Zealand
KUCHING: Sarawak mahu meningkatkan standard sukan negeri sehingga mampu mencapai tahap prestasi setanding New Zealand, termasuk melahirkan lebih ramai atlet yang berupaya bersaing di pentas antarabangsa.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, jumlah penduduk atau keluasan sesebuah negeri mahupun negara bukan penghalang untuk melahirkan atlet bertaraf dunia sekiranya pembangunan sukan dilaksanakan secara berterusan.
Beliau berkata New Zealand menjadi contoh bagaimana sebuah negara dengan jumlah penduduk yang tidak begitu besar mampu melahirkan atlet serta pasukan yang berjaya dalam pelbagai acara di pentas Olimpik.
“Kalau New Zealand boleh, mengapa Sarawak tidak boleh?
“Kita ingin pergi lebih jauh daripada Selangor dan kalau kita mempunyai aspirasi untuk mencapai tahap seperti New Zealand, sudah tentu kita mesti buktikan di Selangor bahawa kita adalah juara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke Temasya Sukan Malaysia Ke-22 (SUKMA XXII) dan Para SUKMA XXII Selangor 2026, di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Menurut beliau lagi, Sarawak kini mempunyai asas yang kukuh menerusi penyediaan kemudahan sukan, program latihan serta sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap pembangunan atlet.
Beliau menjelaskan, Kerajaan Sarawak turut memberi perhatian kepada peningkatan fasiliti sukan bagi memastikan atlet mempunyai persekitaran latihan yang lebih baik termasuk meluluskan pembinaan velodrom bagi menambah kemudahan latihan dan pertandingan sukan berbasikal di Sarawak.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata pembangunan infrastruktur sukan perlu bergerak seiring dengan usaha melahirkan atlet berprestasi tinggi supaya Sarawak bukan sahaja berjaya di peringkat SUKMA, malah mampu melangkah lebih jauh di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. -EDISI UKAS