Sarawak Ingin Buktikan Kejuaraan SUKMA Bukan Kerana Kelebihan Tuan Rumah
KUCHING: Sarawak ingin membuktikan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI bukan semata-mata kerana kelebihan sebagai tuan rumah apabila berdepan cabaran mempertahankan gelaran pada SUKMA XXII di Selangor.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejayaan Sarawak menjuarai SUKMA XXI di bumi sendiri dua tahun lalu menjadi asas penting, namun kemampuan mengekalkan prestasi di gelanggang luar merupakan ujian sebenar buat kontinjen negeri.
Beliau berkata, Sarawak ketika itu mempunyai kelebihan dari segi sokongan penyokong, kemudahan pertandingan yang sudah biasa digunakan serta suasana beraksi di negeri sendiri.
“Dua tahun lepas, kita bertanding di Sarawak dan penyokong seluruh negeri memberi sokongan, selain beraksi menggunakan kemudahan yang sudah biasa bagi kita.
“Tetapi kali ini, kita akan berada di gelanggang yang berbeza dan itulah cabaran yang perlu kita hadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke Temasya SUKMA XXII dan Para SUKMA XXII Selangor 2026, di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, kontinjen Sarawak tidak boleh mengambil mudah cabaran tersebut memandangkan sasaran yang ditetapkan adalah untuk mempertahankan kejuaraan.
“Kita hanya mahu nombor satu, tidak ada nombor dua, tidak ada nombor tiga,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap segala persiapan yang telah dilakukan dapat diterjemahkan kepada prestasi terbaik apabila atlet Sarawak turun beraksi pada temasya berkenaan. -EDISI UKAS