809 Penduduk DUN Tupong Terima Manfaat Program Bantuan Lesen Memandu B2
KUCHING: Seramai 809 penduduk di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong menerima manfaat menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 yang membantu golongan sasaran, khususnya berpendapatan rendah, mendapatkan lesen memandu motosikal pada kadar bayaran minimum.
Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 di Dewan SUPP Jalan Sungai Tengah, di sini, disempurnakan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Program berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan akses golongan sasaran kepada lesen memandu yang sah, malah memberi pendedahan berkaitan aspek keselamatan dan kemahiran melalui latihan serta ujian yang dilaksanakan mengikut piawaian ditetapkan.
Pelaksanaan program itu merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Pusat Khidmat DUN Tupong dan Institut Memandu Canggiran Sdn Bhd bagi memastikan proses latihan dan ujian dapat dilaksanakan dengan lancar.
Inisiatif tersebut turut memberi manfaat dari aspek mobiliti kepada penduduk, khususnya mereka yang bergantung kepada motosikal sebagai salah satu bentuk pengangkutan untuk urusan harian.
Kerjasama antara agensi kerajaan, pusat khidmat dan pihak institut memandu berkenaan mencerminkan pendekatan bersepadu dalam memastikan kemudahan serta peluang yang disediakan kerajaan dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.
Program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu memperluas akses kepada lesen memandu yang sah, di samping menyokong usaha meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta mobiliti masyarakat. -EDISI UKAS