Sarawak Terokai Kerjasama Perdagangan Karbon, Teknologi Pemprosesan Air Laut Dengan Singapura
SIBU: Sarawak sedang meneroka kerjasama strategik dengan Singapura dalam bidang perdagangan karbon serta teknologi pemprosesan air laut bagi membuka peluang pelaburan dan kerjasama baharu antara kedua-dua pihak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerjasama dalam bidang karbon antara lain melibatkan aktiviti penyimpanan dan perdagangan karbon selaras dengan komitmen di bawah Perjanjian Paris.
Menurut beliau, langkah ini diambil memandangkan Singapura merupakan sebuah negara yang pesat berkembang dan turut menghasilkan pelepasan gas karbon dioksida.
"Jadi, maknanya mereka mahu mencari pasaran berdasarkan perdagangan karbon. Hal ini berpandukan Perjanjian Paris bagi menangani pelepasan karbon negara berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tritahunan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Ke-18 di sini, pada Ahad.
Selain isu perdagangan karbon, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memaklumkan bahawa Sarawak dan Singapura melihat potensi penggunaan teknologi baharu bagi membersihkan air laut.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa perbincangan mengenai perkara tersebut masih di peringkat penerokaan dan belum dimuktamadkan.
"Sudah ada teknologi yang mampu membersihkan air laut. Kita akan melihat perkembangan perbincangan ini mengikut keperluan bekalan air kelak.
"Perkara ini belum muktamad kerana kita masih pada peringkat penerokaan," tambah beliau.-EDISI UKAS