KUCHING: Titan Aces berjaya mempertahankan kejuaraan pada edisi ketiga PTBS Invitational Tennis Classic (PITC) 2026 yang berlangsung selama empat hari dan berakhir hari ini di Gelanggang Tenis PTBS dan Sarawak Golf Club.
Kejayaan itu menyaksikan Titan Aces, yang turut muncul juara pada edisi 2024, membawa pulang hadiah utama wang tunai RM6,000 manakala PSJ Singkawang dari Indonesia muncul naib juara dan Hytec menduduki tempat ketiga serta PTBS A di tempat keempat.
Untuk rekod, sebanyak 10 pasukan menyertai kejohanan tahun ini yang merupakan sebahagian daripada acara tenis selama empat hari dengan penyertaan kira-kira 200 atlet dari dalam dan luar negara.
Keseluruhan hadiah berjumlah RM17,000 ditawarkan bagi semua kategori yang dipertandingkan.
Kejohanan anjuran Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) itu turut menjadi platform untuk memperkukuh pembangunan sukan tenis di Sarawak, selain memberi peluang kepada pemain tempatan menguji keupayaan menerusi persaingan lebih kompetitif.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika pelancaran kejohanan pada 30 Julai lalu berkata, penganjuran PITC mencerminkan komitmen berterusan PTBS dalam memperkukuh ekosistem tenis negeri serta melahirkan bakat tempatan yang mampu bersaing pada tahap lebih tinggi.
Menurutnya, kejohanan berkenaan turut meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Bujang Mohd Nor yang banyak menyumbang kepada perkembangan sukan tenis di Sarawak.
Penyertaan PSJ Singkawang dari Indonesia turut memperlihatkan keterbukaan kejohanan berkenaan dalam menarik penyertaan dari luar negara, sekali gus menyediakan ruang kepada pemain tempatan untuk memperoleh pengalaman menerusi pertandingan yang lebih mencabar. -EDISI UKAS