SSCiEX Catat Lebih 40,000 Pengunjung, Tarik Minat Antarabangsa
KUCHING: Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) mencatat lebih 40,000 pengunjung sejak dibuka pada 29 Julai lalu, termasuk kira-kira 11,000 pengunjung dalam tempoh sehari.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, jumlah berkenaan menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap pusat berkenaan sebagai platform pembelajaran dan penerokaan sains serta teknologi.
Katanya, kehadiran pengunjung dari China, Jepun dan Indonesia termasuk Kalimantan turut menunjukkan Pusat Sains Sarawak mempunyai daya tarikan kepada masyarakat di luar Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan ‘Educational Leadership in Heritage and Science for Economic Resilience Programme’ di SSCiEx, Petra Jaya, di sini pada Ahad.
Menurutnya, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, bioteknologi, teknologi digital dan ekonomi hijau sedang mengubah landskap industri serta kerjaya, sekali gus memerlukan generasi masa depan dilengkapi kemahiran yang lebih luas.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) terus memberi tumpuan kepada pendidikan STEM, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital, inovasi serta pembangunan bakat di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau berkata, pendekatan menggabungkan warisan dengan pengetahuan saintifik juga berpotensi menjadikan pengetahuan tradisi sebagai sumber kepada pendidikan, penyelidikan, industri kreatif, pelancongan lestari, perusahaan komuniti dan peluang ekonomi baharu.
Turut hadir, Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Datuk Ik Pahon Joyik, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Anielia Siam dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Dato Ir Ts Sudarnoto Osman. -EDISI UKAS