Perkhemahan Unit Beruniform Asah Kemahiran Hidup, Sikap Berdikari Murid
MATU: Aktiviti perkhemahan unit beruniform memberi peluang kepada murid mengasah kemahiran hidup, mengurus diri dan membina sikap berdikari menerusi pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pengalaman sepanjang perkhemahan membolehkan murid berdepan pelbagai cabaran secara lebih teratur, selain memupuk kerjasama dan disiplin.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Perkhemahan Tahunan Badan Unit Beruniform Sekolah Kebangsaan (SK) Pergau Matu di Rangkasao, di sini pada Ahad.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran melalui pengalaman memberi ruang kepada murid mengaplikasikan kemahiran yang tidak hanya bergantung kepada pembelajaran dalam bilik darjah.
“Ilmu dan pengajaran yang diperoleh sepanjang perkhemahan perlu dibawa dan diamalkan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam aspek disiplin, berdikari dan saling membantu,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti sedemikian turut mengajar murid kepentingan bekerjasama dan saling menyokong dalam menghadapi cabaran, selain menyedarkan mereka bahawa setiap individu memerlukan bantuan dan sokongan orang lain dalam kehidupan.
Perkhemahan selama tiga hari dua malam bermula Jumaat hingga Ahad itu disertai 44 murid SK Pergau Matu. -EDISI UKAS