Perpaduan Semua Generasi Jadi Pemacu Pembangunan Sarikei
SARIKEI: Perpaduan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur penting dalam memastikan Sarikei terus berkembang sebagai kawasan yang lengkap dan mempunyai potensi untuk terus maju.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pembangunan kawasan berkenaan memerlukan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam menjaga serta memajukan Sarikei.
“Tidak kira usia kita, kita semua perlu bersatu menjaga tanah air ini dan memastikan Sarikei terus membangun dengan baik. Sarikei ini ibarat pepatah, ‘kecil-kecil cili padi’; walaupun kawasan kita kecil, namun Sarikei lengkap dan mempunyai segala-galanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Pertandingan Nyanyian Ke-31 serta Pertandingan Nyanyian Bahagian Veteran Lelaki dan Wanita Peringkat Negeri Seluruh Sarawak Kali Ke-28 di Dewan SMK St Anthony, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, perpaduan antara generasi bukan sahaja penting dalam memelihara hubungan masyarakat, malah dapat mewujudkan komuniti yang saling menyokong dalam usaha memajukan kawasan.
Katanya, penganjuran aktiviti yang menghimpunkan golongan muda dan veteran turut mencerminkan kepentingan penglibatan semua peringkat umur dalam pembangunan masyarakat.
Beliau berkata, Sarikei mempunyai asas yang baik untuk terus berkembang memandangkan kawasan itu dilengkapi pelbagai kemudahan serta mempunyai masyarakat yang aktif dalam pelbagai bidang.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa bakat dan potensi masyarakat perlu terus diberi ruang untuk diketengahkan sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan komuniti yang lebih dinamik.
“Pertandingan ini menghimpunkan generasi muda dan penyanyi berpengalaman kerana saya percaya nyanyian dapat membina jambatan bagi dua generasi dan kesinambungan budaya.
“Selagi ada bakat muzik dalam diri seseorang, selagi itulah bakat itu wajar dilihat dan dihargai,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Kelab Menyanyi Kebudayaan dan Sosial Jia Jia Sarikei bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunannya. -EDISI UKAS