UKAS Terus Perkukuh Semangat Kerja Berpasukan, Komitmen Komunikasi Kerajaan
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkukuh semangat kerja berpasukan dan komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai agensi komunikasi kerajaan, khususnya dalam memastikan penyampaian maklumat serta agenda kerajaan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, peranan UKAS semakin penting memandangkan hampir semua program kementerian di negeri ini melibatkan agensi itu sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Menurut beliau, penglibatan berterusan warga UKAS dalam pelbagai program kerajaan membuktikan komitmen mereka yang sentiasa berada di lapangan dalam melaksanakan tanggungjawab.
“UKAS itu sudah ada satu jenama. Di mana-mana, semua jabatan dalam mesyuarat tetap akan menyebut nama UKAS.
“Kamu mesti berani untuk menjanjikan kesempurnaan dalam setiap kerja, mesti berani berjanji untuk rajin bekerja dan juga mesti kreatif. Itu sangat penting, UKAS itu perlukan kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perhimpunan @ Randau Pengarah Bersama Pegawai Ibu Pejabat UKAS, di sini, pada Isnin.
Datuk Abdullah turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga UKAS atas komitmen serta usaha yang ditunjukkan dalam melaksanakan pelbagai tugasan komunikasi kerajaan sepanjang tahun ini.
Ujarnya, budaya kerja yang sentiasa berada di lapangan perlu dikekalkan bagi memastikan UKAS terus responsif terhadap perkembangan semasa serta keperluan komunikasi kerajaan.
Beliau berkata, pencapaian UKAS sepanjang lapan tahun penubuhannya perlu terus disokong dengan budaya kerja yang positif, komitmen tinggi serta kesediaan warga agensi untuk saling membantu dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menjadi platform warga UKAS meraikan Ulang Tahun Ke-8 UKAS menerusi acara pemotongan kek, selain dimeriahkan dengan cabutan bertuah serta pengenalan pelajar latihan industri yang menyertai UKAS.
Majlis berkenaan turut memberi ruang kepada warga UKAS untuk berinteraksi secara lebih dekat bersama pihak pengurusan, sekali gus memperkukuh hubungan serta semangat kekitaan dalam organisasi.
Turut hadir, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali dan barisan pegawai kanan serta warga kerja UKAS.-EDISI UKAS