Warkah Persilaan Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Dipersembah Kepada TYT Sarawak
KUCHING: Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak Tahun 2026 yang diketuai Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom telah mengadakan kunjungan hormat ke Astana Negeri Sarawak pada Isnin, bagi mempersembahkan warkah persilaan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Warkah persilaan tersebut adalah bagi menjemput Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menghadiri Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Ogos ini di bahagian Kapit.
Dalam pertemuan itu, Dato Sri Dr Stephen selaku Menteri Bertanggungjawab memaklumkan mengenai pengisian dan atur cara sambutan yang telah dirancang.
Menurutnya, sambutan akan dimulakan dengan Ambang Hari Kebangsaan pada 30 Ogos, sebelum diteruskan dengan Unity Walk dan Perhimpunan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
Beliau juga menyatakan bahawa kehadiran Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah ke Kapit bakal menyemarakkan lagi sambutan serta memberi makna istimewa kepada masyarakat setempat.
Turut menyertai kunjungan hormat itu ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak I (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak I (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak) Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Pelabuhan) Datuk Majang Renggi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang Adat dan Adat Istiadat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail serta Residen Bahagian Kapit Elvis Didit. -EDISI UKAS