Dr Dayang Norfizawati Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Muara Tuang
KOTA SAMARAHAN: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Muara Tuang, Dr Dayang Norfizawati tiba di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Sabtu, diiringi kira-kira 1,500 penyokong.
Beliau tiba pada jam 8.55 pagi selepas memulakan perarakan pada jam 8.50 pagi bagi mengemukakan borang pencalonan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Dr Dayang Norfizawati mengemukakan borang pencalonan dengan Awang Edi Awang Chi sebagai pencadang, manakala Erine Gadul bertindak sebagai penyokong pencalonan.
Proses penamaan calon bagi kerusi berkenaan dikendalikan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Abdul Razak, mengikut ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Senarai rasmi calon yang layak bertanding bagi kerusi DUN Muara Tuang akan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya selepas proses penamaan calon selesai.- EDISI UKAS