Premier Sarawak Menang Tanpa Bertanding, Pertahan Kerusi DUN Gedong
GEDONG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, pada Sabtu.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Gedong, Jamain Wahab selepas proses penamaan calon selesai di Pusat Penamaan Calon (PPC), Dewan Masyarakat Gedong.
Menurut Jamain, hanya satu kertas penamaan calon diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh penamaan calon yang berlangsung dari jam 9 hingga 10 pagi.
Datuk Patinggi Abang Zohari yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengemukakan kertas penamaan calon pada jam 9.03 pagi sebelum disahkan memenuhi syarat pencalonan selepas proses semakan dilaksanakan.
“Dengan ini, saya mengumumkan bahawa Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg daripada parti Gabungan Parti Sarawak disahkan telah menang tanpa bertanding dan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi bahagian pilihan raya negeri N26 Gedong,” katanya ketika mengumumkan keputusan itu.
Terdahulu, Premier Sarawak tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.40 pagi diiringi pencadang, Dato Sri Mohamad Naroden Majais dan penyokong, Francis Kunche.
Pada PRN Sarawak Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Datuk Patinggi Abang Zohari berjaya memenangi kerusi DUN Gedong selepas beralih dari kerusi DUN Satok yang diwakilinya sejak 1981.
Kemenangan tanpa bertanding kali ini menyaksikan beliau terus mengekalkan kerusi DUN Gedong bagi penggal kedua berturut-turut. -EDISI UKAS