BAU: Persaingan satu lawan satu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.2 Tasik Biru menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) berentap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Eddy Nayoi mengumumkan penyandang, Datuk Henry Harry Jinep daripada GPS akan berdepan Jani Unggu yang mewakili PBDS.
Terdahulu, Datuk Henry Harry Jinep tiba di pusat penamaan calon pada jam 8:05 pagi manakala Jani Unggu tiba pada jam 8:20 pagi bagi mengemukakan kertas penamaan calon masing-masing.
Penamaan calon bagi kerusi berkenaan berlangsung di Dewan Suarah Bau pada Sabtu.
Kedua-dua calon kemudian disahkan layak bertanding pada jam 10:15 pagi selepas proses semakan dokumen pencalonan selesai.
Suasana di pusat penamaan calon berlangsung dalam keadaan terkawal dengan urusan pencalonan dikendalikan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 pada 2021, Datuk Henry Harry Jinep yang bertanding atas tiket GPS berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan memperoleh 6,325 undi dan majoriti 4,212 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Beliau menewaskan calon daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Kemenangan itu menyaksikan Datuk Henry Harry Jinep berjaya mengekalkan kerusi DUN Tasik Biru untuk penggal kedua berturut-turut selepas turut memenanginya pada PRN Sarawak Ke-11 pada 2016.
Bagi PRN Sarawak Ke-13, DUN Tasik Biru mempunyai sekitar 30,000 pengundi berdaftar.
Terdahulu, SPR menetapkan 8 Disember sebagai hari pengundian awal, manakala 12 Disember hari pengundian biasa.-EDISI UKAS