KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.10 Pending, Dato Wee Hong Seng tiba di pusat penamaan calon di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada Sabtu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Datuk Bandar MBKS itu telah hadir bersama pencadangnya, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Kho Teck Wan serta penyokong bagi mengemukakan borang pencalonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketibaan beliau turut diiringi sekumpulan penyokong yang melaungkan slogan ‘Team Abang Jo, Team Wee Hong Seng’ semasa berkumpul di sekitar pusat penamaan calon berkenaan.
Pada PRN Sarawak Ke-12, Dato Wee Hong Seng telah bertanding di N.9 Padungan yang menyaksikan pertandingan empat penjuru, manakala ini merupakan kali pertama beliau bertanding di DUN Pending.
Bagi PRN Sarawak Ke-13, SPR menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal dijadualkan berlangsung pada 8 Disember 2026. –EDISI UKAS