Azizul Annuar Serah Borang Pencalonan DUN Tanjong Datu
LUNDU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Lundu pada jam 9.15 pagi Sabtu.
Terdahulu, beliau bergerak dari masjid pada jam 8.45 pagi menuju ke pusat penamaan calon berkenaan bagi melengkapkan proses pencalonan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Suasana di sekitar pusat penamaan calon turut menyaksikan kehadiran kira-kira 1,100 orang sejak awal pagi.
Setakat jam 9.20 pagi, Azizul Annuar merupakan satu-satunya bakal calon yang dilaporkan tiba di pusat penamaan calon berkenaan.
Senarai rasmi calon yang layak bertanding bagi kerusi DUN Tanjong Datu akan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebaik sahaja proses penamaan calon selesai.
Hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13 dijadualkan pada 12 Disember 2026. –EDISI UKAS