HMI Medical Kukuhkan Ekosistem Penjagaan Kesihatan Sarawak
KUCHING: Kehadiran HMI Medical menerusi pembangunan hospital baharu di Kuching mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi Sarawak sebagai destinasi strategik bagi penjagaan kesihatan berkualiti, inovasi dan pembangunan modal insan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan hospital baharu itu merupakan pelaburan dalam infrastruktur serta kapasiti penjagaan kesihatan
Manakala katanya, dana pembangunan kemahiran dan tenaga kerja pula merupakan pelaburan dalam modal insan.
"Bersama-sama, kedua-duanya membawa mesej yang jelas bahawa Sarawak tidak lagi dilihat sekadar sebagai pasaran yang sedang berkembang, tetapi sebagai destinasi strategik di mana perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia, pelaburan antarabangsa dan bakat tempatan dapat berkembang maju secara bersama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah HMI Medical Regency Specialist Hospital Kuching di Northbank, Tabuan, di sini, pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Sarawak menyasarkan untuk menjadi pusat serantau bagi penjagaan kesihatan termaju, pendidikan perubatan, penyelidikan bioperubatan dan inovasi kesihatan digital.
Katanya, matlamat itu memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri, universiti, institusi penyelidikan dan penyedia teknologi, sekali gus menjadikan pelaburan HMI Medical signifikan kepada pembangunan sektor kesihatan negeri.
Ujar beliau, kehadiran HMI Medical membuktikan bahawa transformasi Sarawak sedang menarik rakan strategik yang bersedia untuk melabur dalam jangka panjang.
"Ini bukan sekadar mengenai pembinaan sebuah hospital lagi; ia adalah mengenai membina keyakinan.
"Sarawak mempunyai asas ekonomi untuk menyokong penjagaan kesihatan bertaraf dunia, dengan keyakinan bahawa rakyat kita berhak mendapat akses kepada perkhidmatan perubatan berkualiti yang lebih dekat dengan tempat tinggal mereka untuk generasi akan datang," jelasnya.
Hospital berkapasiti 300 katil itu akan dibangunkan dalam dua fasa, dengan fasa pertama melibatkan pelaburan lebih RM400 juta dan fasa seterusnya melibatkan penambahan kapasiti hospital tersebut.
Antara kemudahan yang bakal disediakan termasuk Pusat Kanser komprehensif, wad pintar serta dewan bedah termaju dengan kemudahan rawatan rapi, diagnostik dan rawatan yang menyokong penjagaan pakar pelbagai disiplin.
Hospital yang dijangka dilancarkan pada tahun 2029 tersebut turut menyediakan kemudahan khusus untuk pesakit dan pengunjung dari dekat mahupun jauh.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HMI Medical Chin Wei Jia serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir