Ketua Jabatan Perlu Pastikan Resolusi PINTAR Diterjemah Kepada Tindakan
KUCHING: Resolusi PINTAR perlu diterjemah dalam bentuk budaya kerja dan tindakan yang jelas, kata Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki.
Jelas beliau, setiap ketua jabatan perlu memastikan resolusi yang dihasilkan menerusi Persidangan Pemantapan Integriti, Tatakelola dan Antirasuah (PINTAR) 2026 dijadikan panduan dan disusuli dengan tindakan yang jelas di organisasi masing-masing.
Menurut beliau, lima perkara utama yang ditekankan menerusi resolusi berkenaan ialah kepimpinan, pencegahan awal, teknologi dan data, akauntabiliti dan tindakan serta kerjasama dan tanggungjawab bersama.
“Jangan cakap sahaja, jangan rancang sahaja. (Semua resolusi) mesti terjemahkan kepada tindakan, ‘walk the talk’,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan PINTAR 2026 yang bertemakan ‘Integriti Teras Kemakmuran Sarawak’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau berharap resolusi PINTAR 2026 dapat dijadikan panduan hala tuju dalam usaha memperkukuh amalan dan budaya integriti dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, dalam fasa pembangunan pesat Sarawak ketika ini, perkhidmatan awam bukan sahaja berperanan mengurus dan mentadbir, malah bertindak sebagai pemudah cara serta pemacu bagi memastikan agenda pembangunan dilaksanakan secara telus dan berkesan.
Katanya, tanggungjawab tersebut termasuk memastikan projek pembangunan seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan jambatan dilaksanakan mengikut jadual serta spesifikasi yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa integriti tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut rasuah dan pecah amanah, sebaliknya turut merangkumi cara seseorang membuat keputusan serta menjaga hubungan dengan rakan sekerja, pemimpin dan pihak berkaitan.
Menurutnya, kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada keupayaan warga kerja untuk bekerjasama sebagai satu pasukan, saling menghormati serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas.
“Sebagai satu pasukan, kita tidak semestinya mempunyai pandangan yang sama. Namun, setiap perbezaan atau konflik perlu diselesaikan secara matang, berhemah dan profesional tanpa menjejaskan hubungan serta kerjasama,” katanya.
Beliau juga menegaskan kepentingan mekanisme semak dan imbang (‘check and balance’) dalam organisasi bagi memastikan kelemahan pengurusan, ketirisan, pembaziran dan kerugian dapat dielakkan.
Dalam konteks ini, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berkata, Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) perlu memastikan proses kerja mematuhi setiap ketetapan.
“CeIO memainkan peranan yang sangat penting dalam sesebuah jabatan. Melalui proses ‘check and balance’, kita dapat mengenal pasti perkara berkaitan ketidakpatuhan, mengambil tindakan pembetulan dan mengelakkannya daripada berulang,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau menekankan prinsip 3R dalam Perkhidmatan Awam Sarawak iaitu ‘Revisit, Rethink & Recharge’ sebagai pendekatan untuk membudayakan penambahbaikan berterusan.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Mantan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Ketua Ombudsman Sarawak Dato Sri Abdul Ghafur Shariff, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak Wan Mohamad Wan Drahman serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS