Program Outreach MEITD 2026 Perluas Peluang Pendidikan, TVET Kepada Anak Muda Song
SONG: Program Outreach Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) 2026 Bahagian Kapit menjadi platform penting dalam memperluas akses kepada maklumat mengenai peluang pendidikan, biasiswa, bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta hala tuju kerjaya kepada pelajar dan ibu bapa terutamanya di kawasan Song.
Menteri MEITD Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Song itu bertujuan menjadi penghubung antara peluang yang tersedia dengan golongan yang bersedia untuk merebutnya.
“Daripada pameran bermaklumat oleh institusi pendidikan dan TVET, hinggalah cabaran STEM serta ceramah mengenai hala tuju kerjaya dan kemahiran, setiap aktiviti hari ini dirangka untuk membuka peluang dan mencetuskan aspirasi,” katanya ketika berucap pada program tersebut pada Selasa.
Dato Sri Roland turut menekankan kepentingan TVET sebagai salah satu laluan penting untuk generasi muda membina kerjaya, khususnya dalam sektor yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Menurut beliau, perkembangan bidang teknologi digital, automasi dan tenaga boleh baharu turut meningkatkan permintaan terhadap tenaga mahir, sekali gus membuka peluang kerjaya yang lebih luas kepada generasi muda Sarawak.
Sementara itu, beliau menyifatkan kejayaan SMK Song dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sebagai bukti bahawa pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman turut mampu mencatat prestasi akademik yang membanggakan apabila diberikan sokongan serta peluang pendidikan yang sewajarnya.
Untuk rekod, Gred Purata Sekolah SMK Song meningkat daripada 4.89 kepada 4.29, manakala 98.02 peratus calon layak menerima sijil.
"Peningkatan ini merupakan perkembangan positif yang mencerminkan usaha berterusan warga sekolah dalam memperkukuh pencapaian akademik pelajar.
"Pencapaian ini perlu menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus meningkatkan prestasi serta meneroka pelbagai laluan pendidikan dan kemahiran selepas tamat persekolahan," ujarnya lagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan berkata, pencapaian akademik SMK Song mencerminkan potensi pelajar di kawasan berkenaan dan perlu terus dipacu menerusi sokongan berterusan daripada pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti.
Beliau menambah, Program Outreach MEITD 2026 memberi ruang kepada pelajar serta ibu bapa mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pilihan pendidikan dan laluan kerjaya selepas SPM.
Hadir sama, Timbalan Menteri MEITD Datuk Dr Annuar Rapa'ee, Setiausaha Tetap MEITD Datu Adana Jed, Pegawai Pendidikan Daerah Song Azaman Hailee, Pegawai Daerah Song Harry Bruce Edwin serta Pengetua SMK Song Awin Engga. -EDISI UKAS