Jabatan Muzium Sarawak Perkasa Pendidikan Warisan Dalam Komuniti
KUCHING: Jabatan Muzium Sarawak memperluas pendidikan warisan di peringkat komuniti menerusi program ‘Leadership in Heritage: Education and Science for Economic Resilience’ bagi memastikan pengetahuan, tradisi dan amalan budaya terus difahami serta diwarisi generasi akan datang.
Pengarahnya Anielia Siam berkata, program dua hari itu merupakan siri pertama daripada lima siri yang dirancang tahun ini dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran, kefahaman dan pengetahuan mengenai warisan dalam kalangan pemimpin komuniti.
Katanya, pendidikan warisan tidak seharusnya terhad kepada muzium dan galeri, sebaliknya perlu dibawa ke peringkat komuniti supaya tradisi, pengetahuan dan amalan budaya terus dipelihara serta menjadi sebahagian daripada pembelajaran masyarakat.
“Program ini bukan hanya untuk mempamerkan artifak sejarah, tetapi juga menjadi wadah untuk kita mengumpulkan bahan sejarah dan artifak bagi mendidik generasi akan datang, selain dijadikan sebagai bahan rujukan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada program tersebut di Auditorium Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) di sini pada Ahad.
Hadir menyempurnakan program ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Program tersebut merangkumi 10 sesi interaktif, empat penceramah utama dan dua sesi perbincangan panel yang memfokuskan pembangunan komuniti berasaskan warisan.
Selain pendidikan warisan, ia turut menerapkan elemen teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) selaras dengan keperluan memanfaatkan pendekatan baharu dalam usaha mendokumentasikan, memahami dan memelihara warisan.
Siri pertama itu melibatkan pemimpin komuniti dari Lundu, Bau, Kuching, Siburan, Serian dan Tebedu sebagai usaha meningkatkan pemahaman serta pengetahuan mengenai pendidikan warisan di peringkat komuniti.
Jabatan Muzium Sarawak turut merancang empat siri seterusnya melibatkan komuniti lain iaitu masyarakat Iban di Kapit, diikuti Orang Ulu, Melayu dan Cina bagi memperluas pelaksanaan pendidikan warisan kepada masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Program tersebut mendapat kerjasama strategik daripada SRDC, PETRONAS Sarawak, Yayasan Sarawak, Sarawak Skills, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Jabatan Pertanian Sarawak, Pusat Sains Sarawak dan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Wanita.
Inisiatif itu turut mencerminkan peranan berterusan Jabatan Muzium Sarawak dalam memperkasa pendidikan dan pemeliharaan warisan, sejajar dengan sejarah panjang penubuhan jabatan berkenaa yang kini memasuki tahun ke-137 sejak ditubuhkan pada 1889, manakala Sarawak Museum Journal (SMJ) pula telah diterbitkan selama 111 tahun dan merupakan antara jurnal tertua di Malaysia.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Khas Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) merangkap Presiden DBNA Datuk Ik Pahon Joyik serta Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato Ir Ts Sudarnoto Osman. -EDISI UKAS