Integriti Benteng Utama Pentadbiran, Keyakinan Rakyat
KUCHING: Integriti, ketelusan, akauntabiliti dan tatakelola yang baik perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan dengan berkesan serta mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran kerajaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata, perkara itu amat penting selaras dengan kedudukan Sarawak yang kini berada di landasan pembangunan pesat menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berimpak tinggi, pengurusan sumber dan dana yang besar serta pembentukan dasar ekonomi baharu menuntut tahap integriti, ketelusan, akauntabiliti dan tatakelola yang lebih tinggi.
“Kita tidak boleh berkompromi terhadap sebarang bentuk kelemahan, ketirisan atau penyalahgunaan kuasa.
“Kepincangan dalam tatakelola bukan sahaja boleh menjejaskan keberkesanan pembangunan negeri, malah yang lebih membimbangkan, mampu menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penangguhan Persidangan Pemantapan Integriti, Tatakelola dan Antirasuah (PINTAR) 2026 bertemakan ‘Integriti Teras Kemakmuran Sarawak’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Datuk Dr Juanda menjelaskan, ketua jabatan dan peneraju agensi memainkan peranan yang melangkaui tugas pentadbiran harian, termasuk membentuk budaya kerja, menilai risiko serta menjadi benteng dalam mempertahankan dasar dan maruah organisasi daripada dicemari isu penyalahgunaan kuasa.
Ujar beliau, PINTAR 2026 dianjurkan dengan matlamat memperkukuh kefahaman, menyelaraskan pendekatan serta meningkatkan keupayaan dalam menangani kelemahan tatakelola dalam sistem penyampaian perkhidmatan.
“Melalui persidangan ini, saya berharap para peserta dapat memperoleh perspektif yang lebih menyeluruh dalam melaksanakan peranan sebagai pemimpin dan penjawat awam, khususnya dalam memperkukuh mekanisme semak dan imbang, meningkatkan akauntabiliti serta membudayakan nilai integriti di jabatan dan organisasi masing-masing,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sarawak atas kejayaan menganjurkan persidangan berkenaan.
Katanya, komitmen dan kerjasama kedua-dua pihak amat bermakna dalam usaha memperkasa budaya integriti di Sarawak.
Datuk Dr Juanda juga berharap usaha berterusan memperkukuh integriti dan tatakelola dapat menjadi pemacu kepada pentadbiran Sarawak yang inklusif dan mampan. -EDISI UKAS