Persiapan Penganjuran Program SKS Bahagian Betong Dipergiat
BETONG: Persiapan penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 (Zon Tengah) bagi Bahagian Betong yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 13 September depan sedang giat diteliti bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee menekankan bahawa kelancaran pengurusan, aspek keselamatan, logistik, dan penglibatan komuniti setempat merupakan antara fokus utama yang perlu diberikan perhatian khusus oleh semua agensi kerajaan yang terlibat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program berkata, kerjasama padu daripada pelbagai pihak amat diperlukan bagi memastikan program ini berjaya mencapai objektifnya.
Menurutnya, berikutan keadaan cuaca yang agak panas ketika ini, keselesaan pengunjung terutamanya pelajar sekolah yang dijemput hadir ke tapak program perlu dititikberatkan oleh pihak jawatankuasa.
"Pada masa yang sama, semua pihak juga digesa untuk mengambil perhatian serius terhadap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) jerebu yang mencatatkan tahap yang membimbangkan pada waktu ini," katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Bahagian Program Sarawakku Sayang 2026 (Zon Tengah) Bahagian Betong Bil.1/2026 di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong pada Selasa.
Menyentuh mengenai aspek keselamatan dan kawalan pergerakan orang awam, Datu Hii turut mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Bahagian Betong untuk memperketatkan kawalan pergerakan terutamanya semasa Majlis Makan Tengah Hari Yang Amat Berhormat Premier Sarawak bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
Bagi melancarkan gerak kerja jawatankuasa, Pejabat Residen Bahagian Betong turut diminta mengadakan perbincangan susulan bersama setiap jabatan bagi menilai perkembangan semasa, status persiapan, serta memuktamadkan sebarang keputusan dan perubahan perancangan.
Dalam pada itu, bagi menyokong inisiatif ekonomi digital kerajaan, beliau memohon kepada pihak penganjur untuk memastikan semua usahawan dan vendor makanan yang terlibat menyediakan kemudahan pembayaran Sarawak Pay Global (QR) serta mempamerkan tanda harga dengan jelas pada setiap barang jualan.
Beliau juga menyeru pihak media untuk memainkan peranan proaktif dalam mengwar-warkan kemeriahan program tersebut menerusi platform media sosial serta pemasangan banner untuk memberi info kepada komuniti setempat berkaitan program ini.
Terdahulu sebelum mesyuarat bermula, Datu Hii bersama wakil-wakil jabatan telah mengadakan lawatan tapak awal ke Kompleks Sukan Betong yang bakal menjadi lokasi utama penganjuran, serta Dewan Panglima Rentap bagi meninjau fasiliti untuk penganjuran Majlis Makan Tengah Hari Premier bersama KMKK.
Turut hadir dalam mesyuarat penyelarasan tersebut ialah Residen Bahagian Betong, Datu Richard Micheal Abunawas; Timbalan Residen Bahagian Betong, Mohammad Nizam Wang; Ketua Bahagian Peruntukan Khas Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (UPPS), Sofhi Jebal; dan Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Joachim Paggang Jabong. - EDISI UKAS