KUCHING: Sarawak terus memperkukuh sektor pelancongan perubatan dengan memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem penjagaan kesihatan, penyelidikan penyakit tropika serta kemudahan rawatan susulan bagi menarik lebih ramai pelancong perubatan dari rantau ASEAN.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, lebih 100,000 pelancong perubatan direkodkan berkunjung ke Sarawak pada 2025 bagi mendapatkan rawatan selain menikmati ekosistem yang ditawarkan negeri ini.
"Kerajaan Sarawak sedang melabur dalam aspek kesalinghubungan dan saya percaya hospital ini akan dapat menjangkau negara-negara anggota ASEAN.
"Kita berada di tengah-tengah ASEAN dan saya yakin mereka yang ingin mendapatkan rawatan yang baik di hospital anda dialu-alukan untuk datang ke Kuching," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah HMI Medical Regency Specialist Hospital Kuching di Northbank, Tabuan, di sini, pada Isnin.
Dalam sidang media selepas majlis itu, Premier Sarawak berkata, kerajaan negeri akan terus melaksanakan pembangunan infrastruktur, bukan sahaja dari segi kesalinghubungan udara, malah kesalinghubungan domestik.
Menurutnya lagi, pembinaan Regency Special Hospital yang dibina oleh HMI Medical terletak berhampiran Transit Aliran Automasi (ART) di Northbank sekali gus memudahkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan.
Selain itu, beliau menjelaskan, Sarawak juga memfokuskan rawatan susulan dengan kemudahan yang sedang dibangunkan di Hutan Sabal dan di kawasan semenanjung Pantai Damai.
"Kesemua lokasi ini berada dalam lingkungan 45 minit dari Northbank dan saya fikir perkara ini akan memberikan insentif istimewa kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di Sarawak.
"Bagi pihak Sarawak, saya mengucapkan terima kasih kepada HMI Medical atas keputusan dan keyakinan anda terhadap persekitaran kita," ujarnya.
Premier Sarawak turut menggesa HMI Medical menjalinkan kerjasama dengan pusat penyelidikan penyakit tropika di Sarawak, yang turut menerima pelaburan kerajaan negeri sebanyak RM300 juta termasuk bagi latihan perubatan di hospital perubatan terkenal seluruh dunia bagi mengangkat piawaian standard di negeri ini. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir