Kerajaan Sarawak Teliti Potensi Pembangunan Tanah HAB Ulu Paku, Ulu Rimbas
SPAOH: Kerajaan Sarawak sedang meneliti potensi pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (HAB) yang masih belum dimajukan di kawasan Ulu Paku, Spaoh dan Ulu Rimbas, Debak bagi memastikan aset berkenaan dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha tersebut perlu dilaksanakan secara terancang dengan mengambil kira hak serta kepentingan pemilik tanah.
“Tanah di kawasan Ulu Paku dan Ulu Rimbas masih banyak yang belum dimajukan. Oleh itu, saya bersama Dato Dr Richard Rapu (Ahli Parlimen Betong) sentiasa berusaha memikirkan cara bagi memastikan tanah ini dapat menghasilkan pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Dialog Pembangunan Tanah HAB Kawasan Ulu Paku, Spaoh dan Ulu Rimbas, Debak, Bahagian Betong di Dewan Masyarakat Spaoh pada Selasa.
Menurut beliau, pembangunan sektor pertanian termasuk penanaman kelapa sawit di kawasan bersesuaian merupakan antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah menegaskan aspek pengukuran tanah dan pengeluaran dokumen hak milik yang sah perlu diberi perhatian agar pemilik mempunyai kepastian terhadap status serta hak mereka.
“Kerjasama semua pihak amat penting supaya tanah adat tidak hilang, diceroboh atau disalahgunakan tanpa kebenaran,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu menjelaskan, isu pencerobohan tanah, pertikaian hak milik, penanaman kelapa sawit tanpa kebenaran serta perkara berkaitan pembahagian tanah dan pampasan perlu diselesaikan melalui saluran yang sewajarnya.
Sehubungan itu, beliau turut menyarankan penggunaan teknologi seperti sistem GPS dipertingkatkan dalam proses pengukuran tanah bagi memastikan kerja pengukuran lebih tepat, sekali gus membantu mengurangkan pertikaian pada masa depan.
Datuk Amar Douglas Uggah berkata, penglibatan agensi kerajaan bersama wakil rakyat penting bagi membantu masyarakat memahami proses berkaitan tanah serta mendapatkan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi.
Tegas beliau, dialog bersama masyarakat perlu diteruskan untuk mendapatkan maklum balas secara langsung di peringkat akar umbi serta mengenalpasti pendekatan penyelesaian yang bersesuaian.
“Tanah merupakan aset penting kepada masyarakat. Oleh itu, masyarakat perlu mengetahui hak mereka serta memastikan segala urusan berkaitan tanah dilaksanakan melalui saluran yang sah,” katanya lagi.
Dialog anjuran bersama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) dan Jabatan Pertanian Bahagian Betong itu turut memberi penerangan mengenai tatacara pembangunan tanah adat, proses pengukuran serta pembangunan projek pertanian.
Tiga taklimat utama disampaikan merangkumi Tatacara Permohonan Pembangunan Tanah HAB oleh M-FICORD, Program Pengukuran Tanah HAB di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri serta Native Territorial Domain (NTD) oleh Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong serta peranan Jabatan Hutan Sarawak dalam pembangunan projek pertanian dan permohonan permit atau lesen pembalakan di kawasan HAB.
Dialog tersebut disertai kira-kira 150 peserta termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta penduduk dari kawasan Ulu Paku dan Ulu Rimbas. -EDISI UKAS