KUCHING: Inovasi yang dibangunkan melalui penyelidikan perlu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi impak nyata kepada kehidupan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian berkata, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), hidrogen, robotik dan transformasi digital penting dalam pembangunan masa depan, namun nilai sebenar inovasi terletak pada keupayaannya meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
“Inovasi hanya bermakna apabila mampu membawa perubahan kepada kehidupan manusia. Itu sebabnya sidang kemuncak ini penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘Industry–University–Community (IUC) Summit 2026’ anjuran Swinburne University of Technology Sarawak Campus di kampus universiti berkenaan pada Selasa.
Persidangan dari 11 hingga 12 Ogos itu bertemakan ‘Bridging Gaps, Breaking Barriers, Co-Creating Success’ dan menghimpunkan lebih 250 peserta dari institusi akademik, industri, kerajaan dan komuniti.
Datuk Amar Dr Sim berkata, kerjasama antara keempat pihak penting bagi membentuk ekosistem inovasi yang mampu menghasilkan manfaat yang lebih luas kepada masyarakat.
Beliau menjelas lanjut, industri mempunyai kefahaman terhadap keperluan pasaran dan cabaran sebenar, universiti menghasilkan pengetahuan serta bakat, manakala komuniti menjadi asas kepada keperluan yang perlu ditangani melalui inovasi.
Tambahnya, kerajaan pula berperanan mewujudkan persekitaran yang menyokong pertumbuhan inovasi melalui pelaburan dalam modal insan, pengurangan halangan serta pengukuhan jaringan kerjasama.
“Apabila setiap pihak memainkan peranan masing-masing, idea menjadi peluang, peluang berkembang menjadi perniagaan, perniagaan mewujudkan pekerjaan dan pekerjaan meningkatkan taraf kehidupan,” katanya.
Menurutnya, Sarawak kini berada dalam fasa transformasi ekonomi yang semakin memerlukan pembangunan bakat, pengetahuan dan keupayaan mencipta, selain terus memanfaatkan sumber asli yang menjadi asas ekonomi negeri.
Sehubungan itu, beliau berkata agenda di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 terus memberi penekanan kepada bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, transformasi digital, pembangunan bakat dan pertumbuhan ekonomi mampan.
Dalam pada itu, Datuk Amar Dr Sim berkata universiti, industri, komuniti dan kerajaan tidak boleh bergerak secara berasingan sekiranya mahu menghasilkan penyelesaian yang lebih menyeluruh.
“Apabila kita bergerak secara berasingan, kita hanya mampu mencapai matlamat yang kecil. Namun apabila kita bekerjasama, kita mampu mencapai lebih banyak. Itulah semangat di sebalik sidang kemuncak ini,” katanya. -EDISI UKAS