KUCHING: Regatta Batang Kayan 2026 menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran dari 25 hingga 27 September depan, sekali gus dijangka merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di Daerah Lundu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, penganjuran acara dwi-tahunan itu bukan sekadar mengetengahkan sukan air, malah membuka peluang kepada peniaga, pengusaha makanan, penginapan dan usahawan tempatan mendapat limpahan ekonomi daripada kehadiran pengunjung.
Menurutnya, Regatta Batang Kayan turut menjadi platform menggabungkan elemen pelancongan, kebudayaan, keusahawanan, pembangunan belia dan penglibatan komuniti setempat.
“Regatta Batang Kayan bukan sekadar pertandingan sukan air, tetapi menjadi platform besar yang menghimpunkan pelbagai elemen termasuk pelancongan, kebudayaan, keusahawanan, pembangunan belia serta penglibatan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Regatta Batang Kayan 2026 di LEA Sports Centre, Sarawak Plaza, di sini, pada Selasa.
Katanya, penganjuran berkenaan turut disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), sekali gus memberi nilai tambah kepada usaha mempromosikan Lundu sebagai destinasi pelancongan.
Hadiah wang tunai berjumlah RM106,250 ditawarkan bagi sembilan kategori pertandingan regatta tahun ini, dengan tumpuan utama diberikan kepada kategori Bidar 30 Pekayuh Lelaki yang menawarkan gelaran ‘Raja Sungai Regatta Batang Kayan 2026’ serta hadiah RM20,000 kepada pemenang.
Setakat ini, 17 pasukan telah disenaraikan untuk menyertai pertandingan tersebut, dengan majoritinya dari Lundu, selain penyertaan dari Seratok, Gedong, Sebuyau, Batu Kitang, Kuching dan beberapa kawasan lain.
Selain regatta, pelbagai aktiviti turut disediakan sepanjang penganjuran termasuk Strong Man, 'slingshot', bola tampar, memanah, 'motorbike gathering', Jualan Rahmah serta reruai pameran dan jualan.
Kemeriahan acara juga diteruskan menerusi Konsert Rakyat pada 27 September yang menampilkan Ameng Spring sebagai artis jemputan utama, selain persembahan artis tempatan Carrie Geres dan Rannee Pat.
Menurut Azizul, penganjuran acara tersebut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat menerusi peningkatan aktiviti perniagaan serta permintaan terhadap perkhidmatan penginapan, makanan dan minuman sepanjang acara berlangsung.
Majlis Perasmian Regatta Batang Kayan 2026 dijangka disempurnakan oleh Menteri MTCP, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah manakala Majlis Penangguhan dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. -EDISI UKAS