Liga Bola Sepak Lundu Kembali, 16 Pasukan Rebut Kejuaraan
KUCHING: Selepas hampir tujuh tahun, Liga Bola Sepak Lundu kembali pada 2026 dengan penyertaan 16 pasukan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar dan DUN Tanjong Datu.
Kebangkitan semula liga berkenaan dilihat sebagai platform untuk menghidupkan kembali saingan bola sepak tempatan, selain mencungkil bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, penganjuran liga tersebut bukan sekadar pertandingan, sebaliknya menjadi ruang kepada pemain tempatan menguji kemampuan dalam suasana persaingan yang lebih kompetitif.
Menurutnya, penglibatan dalam pertandingan juga membantu membentuk pemain yang lebih berdisiplin, bertanggungjawab, yakin diri serta mempunyai semangat kerja berpasukan.
“Melalui pertandingan, pemain bukan sahaja belajar mengejar kemenangan, malah menerima kekalahan, menghormati keputusan pengadil serta menghargai rakan sepasukan dan pihak lawan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Liga Bola Sepak Lundu 2026 di LEA Sports Centre, Sarawak Plaza, di sini, pada Selasa.
Liga bertemakan ‘Mencipta Legasi, Menjulang Generasi’ itu merupakan kesinambungan Liga Bola Sepak Lundu yang kali terakhir dianjurkan pada 2019 sebelum terhenti susulan pandemik COVID-19.
Sebanyak lapan pasukan mewakili DUN Opar iaitu Volcano, Kasuka FC, Maksak FC, Team Pembangunan N.1 Opar, Batang Kayan United, STP FC, Sealion (Serayan Hulu) dan AW1902 FC.
Manakala lapan pasukan dari DUN Tanjong Datu pula ialah Fadzio FT, Belia Sileng, Kampung Rayu IBAN, Sebat Melayu, Rambungan FC, Sampadi FC, Bajo FC dan Horris FC.
Sementara itu, ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, penyertaan 16 pasukan memberi peluang lebih luas untuk mengenal pasti pemain berbakat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Beliau berharap pemain yang menyerlah dapat terus dibangunkan dan tidak terhenti di peringkat kampung atau daerah, sebaliknya berpeluang membawa nama Lundu dan Sarawak ke pentas lebih tinggi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail dan Pegawai Pejabat Daerah Kecil Sematan merangkap Penyelaras Liga Mohd Ameerullah Roslan. -EDISI UKAS