Jerebu: Orang Ramai Perlu Terus Waspada, Patuhi Nasihat Pihak Berkuasa
KUCHING: Orang ramai di Sarawak diseru supaya terus berwaspada dan mematuhi nasihat pihak berkuasa susulan keadaan jerebu yang melanda negeri ketika ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keadaan jerebu semasa dipercayai dipengaruhi fenomena El Niño namun ia dijangka bersifat sementara.
"Maksud saya, kita amat terkesan dengan jerebu kali ini disebabkan oleh fenomena El Niño, jadi kita berjaga-jagalah.
“Kalau jerebu, saya fikir kali ini tidak seberapa teruk seperti dulu, rasa sayalah dan ini bersifat sementara sahaja,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah HMI Medical Regency Specialist Hospital Kuching di Northbank, Tabuan, di sini, pada Isnin.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian ketika ditemui pemberita berkata, orang ramai perlu mendapatkan maklumat tepat dan mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berdasarkan tahap kualiti udara semasa.
Menurut beliau, kementeriannya akan bekerjasama dengan JPBNS dalam aspek kesihatan bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diselaraskan bersama agensi berkaitan.
"Jadi, Premier Sarawak telah meminta Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk melihat perkara ini dari sudut JPBNS, kerana jawatankuasa ini menyelaras dengan semua agensi lain.
"Ia tidak boleh hanya melibatkan satu agensi sahaja kerana aspek kesihatan, pendidikan dan sebagainya perlu ditangani secara bersama," jelasnya.
Sehubungan itu, Datuk Amar Profesor Dr Sim menasihati orang ramai supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini serta mendapatkan nasihat rasmi daripada JPBNS, khususnya berhubung aktiviti luar apabila keadaan jerebu mencapai tahap tidak selamat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir