Kesiapsagaan Infrastruktur Perkukuh Daya Saing Limbang
LIMBANG: Kesiapsiagaan infrastruktur dalam memenuhi keperluan ekonomi dan mobiliti semasa dilihat sebagai faktor penting dalam menentukan hala tuju pembangunan sesebuah kawasan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, usaha memperkukuh kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan telekomunikasi terus dipergiat di Limbang.
“Apabila infrastruktur kita bersedia dan mampu menampung keperluan semasa, ia bukan sahaja memudahkan mobiliti tetapi juga menjadi asas kepada kemasukan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya semasa berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Lumpur Bebuak 2026 pada Sabtu.
Menurut beliau, peningkatan kecekapan infrastruktur ini akan menyokong pergerakan ekonomi secara lebih lancar, khususnya dalam menghubungkan kawasan luar bandar dengan pusat bandar serta mempercepatkan urusan logistik dan perdagangan.
Keadaan ini sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelabur untuk meneroka potensi ekonomi tempatan selain merancakkan aktiviti pelancongan yang semakin berkembang di kawasan tersebut.
Tambah beliau, antara projek utama yang sedang dilaksanakan termasuk Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang dijangka memberi impak besar terhadap jaringan perhubungan darat serta merancakkan pembangunan menjelang 2030.
Pada masa sama, beliau berkata Limbang kini telah disambungkan ke grid elektrik negeri, sekali gus meningkatkan kestabilan bekalan tenaga di kawasan tersebut.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga memberi perhatian terhadap isu bekalan air dengan pelaksanaan projek pembinaan tangki baharu serta penggantian paip lama bagi memastikan bekalan lebih konsisten kepada penduduk.
Selain itu, pembangunan prasarana pelancongan seperti Tebingan Limbang, Taman Tasik Bukit Mas dan Lapangan Rekreasi terus diperkasa bagi menarik kehadiran pengunjung. Kemudahan ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan, malah menyediakan ruang riadah yang lebih selesa kepada masyarakat setempat.
Beliau turut memaklumkan bahawa usaha menaik taraf kemudahan sedia ada termasuk Limbang Town Square akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti dan keselesaan orang ramai.
Pada masa sama, cadangan pembangunan tapak sukan lasak seperti motocross dan berbasikal lasak juga dilihat mampu menarik segmen pelancongan baharu, khususnya dalam kalangan belia dan penggemar aktiviti ekstrem.
Sehubungan itu, beliau optimis kesiapsiagaan infrastruktur yang berterusan akan memperkukuh daya saing Limbang serta memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan pada masa hadapan.
Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Rozita Kulai; Pengerusi Majlis Daerah Limbang,Sufian Mohat; Setiausaha Majlis Daerah Limbang, Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Matlamat Pembangunan Mampan Majlis Daerah Limbang, Henry Madai; wakil Pegawai Daerah Limbang, Danny David dan Ketua Kampung Meritam, Mahmud Gampal.-EDISI UKAS