Pertandingan Nyanyian Bahasa Hokkien Martabat Bahasa Warisan Cina
MIRI: Pertandingan Sarawak-Sabah-Brunei Hokkien Language Singing Competition Dato Sri Lee Kim Shin Challenge Trophy menjadi platform dalam memartabatkan bahasa Hokkien sebagai sebahagian daripada warisan budaya masyarakat Cina.
Pertandingan anjuran Persatuan Chawan Miri itu disertai 64 peserta, terdiri daripada 30 lelaki dan 34 perempuan termasuk penyertaan dari Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penganjuran pertandingan nyanyian dalam bahasa Hokkien penting dalam menggalakkan generasi muda mengenali, mempelajari dan menggunakan bahasa warisan keluarga.
“Pertandingan seperti ini boleh menggalakkan golongan muda untuk mempelajari dan bertutur dalam bahasa dialek mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pertandingan tersebut di Pentas Utama, Pusat Membeli-belah Boulevard, Miri pada Ahad.
Menurut beliau, pertandingan berkenaan bukan sahaja menguji bakat nyanyian, malah menjadi pendekatan kreatif bagi memastikan bahasa dialek terus dituturkan dan diwarisi generasi akan datang.
Katanya, penyertaan dari Sabah dan Brunei turut membantu memperluaskan jaringan kebudayaan merentasi sempadan, selain secara tidak langsung memperkenalkan Miri kepada peserta dan keluarga yang hadir.
Beliau turut menggalakkan persatuan-persatuan dialek lain menganjurkan program seumpama itu bagi menggalakkan generasi muda mempelajari dan menggunakan bahasa warisan masing-masing.
Pertandingan bermula pada jam 11 pagi sebelum sesi akhir pada sebelah petang menyaksikan empat peserta lelaki dan empat peserta perempuan terbaik bersaing merebut kejuaraan.-EDISI UKAS