KUCHING: Kekuatan mental dan keinginan untuk menang atau ‘killer instinct’ bakal menjadi faktor penentu kejayaan atlet Sarawak dalam usaha mempertahankan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tahap latihan dan persiapan atlet daripada negeri-negeri yang bertanding mungkin hampir setara, namun kekuatan mental ketika berdepan saingan sengit mampu membezakan juara dengan naib juara.
Menurut beliau, atlet perlu memasuki gelanggang dengan sasaran untuk muncul juara dan tidak sekadar memenuhi tempat dalam kontinjen.
“Kesemua anda berada pada tahap yang sama dari segi latihan dan persiapan, tetapi yang akan membezakan sama ada anda menjadi juara atau nombor dua ialah atlet yang mempunyai kemahuan dan ‘killer instinct’ untuk menjadi nombor satu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke Temasya SUKMA XXII dan Para SUKMA XXII Selangor 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Katanya lagi, persiapan rapi yang dilakukan perlu disertai keyakinan dan mentaliti untuk menang bagi membolehkan atlet mencapai sasaran yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim turut mengingatkan atlet yang membuat penampilan sulung di pentas SUKMA supaya tidak membiarkan kegugupan atau kekurangan pengalaman menjejaskan prestasi masing-masing.
“Jangan biarkan perkara itu membuatkan anda merasakan bahawa anda tidak mampu menjadi juara.
“Tanamkan dalam jiwa dan hati semangat untuk menjadi juara. Di belakang anda semua ialah seluruh rakyat Sarawak yang mahu melihat anda berjaya,” katanya lagi. -EDISI UKAS