'A Jazzy Night Of Classics' Perkukuh Kecemerlangan Muzik Orkestra Di Sarawak
KUCHING: Persembahan 'A Jazzy Night of Classics (From Baroque to Bolling)' menjadi kemuncak kepada program kerjasama muzik antarabangsa dan pembangunan profesional yang bertujuan memperkukuh kecemerlangan orkestra serta bakat muzik di Sarawak.
Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Muzik, Tarian dan Seni Kuching dengan kerjasama Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) dan IMH Classic Ensemble, sekali gus menyediakan peluang kepada anggota SONS serta komuniti muzik untuk meningkatkan kemahiran menerusi ‘masterclass’, bengkel, latihan dan kolaborasi persembahan bersama pemuzik serta pendidik bertaraf antarabangsa sebelum menyajikan satu persembahan istimewa yang tidak bopeh dilupakan.
Konsert tersebut menampilkan karya komposer terkenal termasuk Vivaldi, Mozart, Holst, Karl Jenkins dan Claude Bolling, yang menggabungkan karya muzik klasik dengan pengaruh jazz kontemporari.
Antara kemuncak persembahan ialah penyertaan pemuzik muda yang berpeluang membuat persembahan bersama artis dan konduktor berpengalaman.
Platform tersebut memberi peluang kepada pemuzik muda memperoleh pengalaman praktikal, membina keyakinan diri serta mengembangkan lagi kebolehan muzik masing-masing.
Inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan pendidik muzik dan penggiat seni, termasuk Dr. Geraldine Law-Lee, dalam memajukan pendidikan muzik dan seni persembahan di Sarawak.
Persembahan tersebut bukan sahaja meraikan kepelbagaian muzik daripada era Baroque hingga jazz, malah memperlihatkan peranan kerjasama antarabangsa dalam menghubungkan budaya, memberi inspirasi kepada pembelajaran dan memperkukuh kecemerlangan seni.
Program tersebut turut mengetengahkan perkembangan serta pencapaian pemuzik Sarawak menerusi peluang pembelajaran, latihan dan kolaborasi bersama penggiat muzik antarabangsa.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak (MSS) Dr Suffian Jalet dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MSS Awang Ikman Awang Sepian. -EDISI UKAS