Taman Tumbina Bakal Dibuka Malam Dua Kali Sebulan Mulai Oktober
BINTULU: Taman Tumbina bakal dibuka pada waktu malam sebanyak dua kali sebulan mulai Oktober ini susulan sambutan menggalakkan terhadap aktiviti ‘Night Walk’ yang diperkenalkan sempena Pesta Tumbina.
Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Dato Haidar Khan Asghar Khan berkata, pembukaan pada waktu malam itu merupakan antara usaha memberi pengalaman baharu kepada masyarakat selain berpotensi menjadikan Taman Tumbina sebagai tarikan pelancongan yang lebih menarik.
“Memang sudah ada perancangan supaya kita buka pada waktu malam dua kali sebulan, insya-Allah mungkin pada Oktober tahun ini.
“Kita akan lihat bagaimana popularitinya dan sekiranya sambutan daripada orang ramai terus menggalakkan, mungkin kita boleh buat sesuatu yang lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Pesta Tumbina 2026 di Taman Tumbina Bintulu pada Ahad.
Beliau berkata, konsep ‘Night Walk’ yang menampilkan hiasan lampu dan suasana malam mendapat sambutan baik, termasuk daripada masyarakat tempatan yang sebelum ini lebih biasa mengunjungi Taman Tumbina pada waktu siang.
Haidar berkata, selain memberi manfaat kepada sektor pelancongan, penganjuran Pesta Tumbina turut membuka ruang kepada usahawan kecil tempatan untuk menjana pendapatan menerusi penyertaan gerai jualan.
“Pada tahun ini kita memberi ruang kepada peniaga-peniaga tempatan dan semua peniaga kecil untuk membuka gerai di mana sebanyak 23 gerai disediakan.
“Berdasarkan rekod setakat malam tadi, mereka telah mencatat jualan lebih RM91,000,” katanya.
Difahamkan, jumlah keseluruhan pendapatan peniaga dan pengusaha gerai sehingga 12 tengah hari pada Ahad direkodkan sebanyak RM91,300, merangkumi jualan makanan dan minuman, kraftangan, flora, ‘face painting’ serta perkhidmatan veterinar dan pelbagai.
Haidar berkata, perkembangan itu membuktikan Pesta Tumbina bukan sahaja menjadi platform rekreasi dan pelancongan, malah membantu merancakkan ekonomi setempat serta menyediakan peluang pendapatan sampingan kepada komuniti.
Ujarnya, BDA akan terus memperkukuh pengisian Pesta Tumbina pada masa akan datang, termasuk memperluas penyertaan gerai dan pempamer serta meningkatkan elemen kreativiti dan inovasi bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey.-EDISI UKAS