KUCHING: Sarawak tidak mempunyai masalah sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang masih menggunakan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan negeri bersedia menggunakan jumlah kerusi sedia ada sekiranya cadangan penambahan kepada 99 kerusi belum dapat dilaksanakan.
"Kita tiada masalah, kalau 82 kerusi sahaja maka kita guna 82 kerusi sahaja lah.
"Tidak semestinya kita pilihan raya akan menggunakan 99 kerusi sebab kalau lihat tempoh waktu yang diberikan memang singkat jadi kita tidak boleh buat apa-apa.
"Kita ikut sahaja yang sedia ada, tiada masalah, mungkin masalahnya kepada para pengundi sahaja," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah HMI Medical Regency Specialist Hospital Kuching di Northbank, Tabuan, di sini, pada Isnin.
Cadangan penambahan kerusi tersebut sebelum ini telah diluluskan oleh DUN Sarawak, namun pelaksanaannya masih memerlukan proses selanjutnya di peringkat Persekutuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil, sebelum ini memaklumkan, kerajaan Persekutuan sedang mendapatkan laporan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung cadangan tersebut.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim telah memberi komitmen untuk melaksanakan penambahan kerusi berkenaan.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir