Setiausaha Kerajaan Sarawak Terima Kunjungan Hormat Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri
KUCHING: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menerima kunjungan hormat Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri, Hendy Assan di Wisma Bapa Malaysia, pada Isnin.
Pertemuan tersebut menjadi platform untuk bertukar pandangan berkaitan usaha memperluas jaringan serta meneroka peluang kerjasama yang dapat menyokong kepentingan dan aspirasi Sarawak di peringkat serantau dan antarabangsa.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berkata, pengalaman luas Hendy dalam perkhidmatan diplomatik mampu membawa perspektif serta jaringan antarabangsa yang bernilai dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Sarawak dengan Kementerian Luar Negeri.
Beliau turut mengucapkan selamat bertugas kepada Hendy dan berharap pengalaman yang dibawa dapat membuka lebih banyak ruang serta peluang untuk Sarawak.
Hendy merupakan anak Sarawak yang mengambil alih jawatan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri berkuatkuasa 23 Julai lalu menggantikan Dato Fenny Nuli yang kini menjalankan tanggungjawab sebagai Duta Besar Malaysia Ke Republik Austria.
Sebelum ini, beliau merupakan Duta Besar Malaysia ke Holy See, Vatican City sejak 2023. -EDISI UKAS