GEMA Perkasa Usahawan Luar Bandar, Perluas Pasaran Produk
KOTA SAMARAHAN: Program GEMA Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Halaman Samarahan bakal menjadi platform memperkasa usahawan luar bandar menerusi pameran, jualan serta padanan perniagaan.
Timbalan Menteri KKDW merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, seramai 44 usahawan akan menyertai pameran dan jualan sepanjang program berkenaan.
Menurut beliau, usahawan yang terlibat terdiri daripada peserta yang dibimbing pelbagai agensi kerajaan termasuk MARA, RISDA, FELCRA, KEMAS serta agensi berkaitan pembangunan usahawan di Bahagian Samarahan.
“Program ini bukan sekadar memberi ruang kepada usahawan mempamer dan menjual produk, tetapi turut membuka peluang kepada mereka untuk mendapatkan pasaran baharu melalui padanan perniagaan.
“Kita akan menjemput vendor dan pemain industri untuk melihat produk usahawan kita dan sekiranya berminat, mereka boleh menjalinkan kerjasama perniagaan secara terus,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mesyuarat di Pejabat RISDA Samarahan, pada Isnin.
Datuk Rubiah berkata, pendekatan padanan perniagaan yang dilaksanakan sebelum ini telah membantu produk usahawan luar bandar menembusi pasaran lebih luas, termasuk di luar Sarawak dan peringkat antarabangsa.
Tambahnya, usaha memperluas pasaran produk tempatan merupakan antara pendekatan penting kerajaan dalam memperkukuh sosioekonomi masyarakat luar bandar.
Selain itu, GEMA turut melibatkan sektor swasta menerusi pengisian jualan makanan dan produk melalui Rasa Kita Sedap yang dijangka menjadi antara tarikan kepada pengunjung. -EDISI UKAS