GEMA Perkasa Komuniti, Santuni Golongan Memerlukan
KOTA SAMARAHAN: Program GEMA Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berlangsung di Halaman Samarahan dari 19 hingga 23 Ogos ini turut memberi tumpuan kepada aspek kebajikan, pembangunan komuniti dan pengukuhan nilai masyarakat.
Timbalan Menteri KKDW merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, pelbagai program tanggungjawab sosial dan kemasyarakatan dirangka bagi memastikan manfaat GEMA dapat dirasai secara langsung oleh penduduk setempat.
Menurutnya, program SERI oleh GIATMARA turut menyediakan khidmat berkaitan pendawaian elektrik, lampu dan soket di rumah yang dikenal pasti.
“Sebanyak 50 buah rumah daripada lima kampung di sekitar Samarahan telah dikenal pasti untuk program ini, dengan tenaga kerja melibatkan pelajar dan tenaga pengajar GIATMARA,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mesyuarat di Pejabat RISDA Samarahan, pada Isnin.
Tambah beliau, antara pengisian yang dilaksanakan ialah Program Belia Bakti yang melibatkan belia setempat dalam aktiviti membaiki, mengecat dan membantu rumah golongan kurang berkemampuan.
Datuk Rubiah memberitahu, Program Ziarah Kasih KEMAS dengan kerjasama FELCRA pula akan menyantuni 100 keluarga golongan kurang upaya di sekitar Samarahan, Asajaya dan Muara Tuang.
Menurutnya, pendekatan tersebut mencerminkan komitmen KKDW dalam memastikan pembangunan luar bandar merangkumi bukan sahaja aspek sosioekonomi dan kemahiran, tetapi juga kebajikan serta kesejahteraan komuniti.
Dalam pada itu, beliau berkata, GEMA turut menjadi antara platform bagi menyemarakkan Sambutan 40 Tahun Samarahan menerusi program Samarahan Berselawat.
Katanya, program berkenaan akan menampilkan penceramah jemputan termasuk Imam Muda Ustaz Asyraf serta beberapa kumpulan tahfiz.
“Selain pembangunan sosioekonomi dan kemahiran, kita juga memberi perhatian kepada pembangunan jiwa, nilai, disiplin dan etika masyarakat.
“Sebab itu kita turut membawa pengisian berbentuk keagamaan seperti Samarahan Berselawat,” ujarnya.
Selain itu, pelbagai aktiviti komuniti seperti larian santai, pertunjukan fesyen kanak-kanak, pertandingan melukis, memasak dan karaoke turut diadakan sepanjang GEMA. -EDISI UKAS