KOTA SAMARAHAN: Program GEMA Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang bakal berlangsung di Halaman Samarahan dari 19 hingga 23 Ogos ini membuka ruang kepada golongan belia, khususnya dari luar bandar, untuk meneroka peluang pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kemahiran serta kerjaya.
Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang berkata, penganjuran GEMA merupakan pendekatan kementeriannya untuk turun padang dan mendekati komuniti menerusi pelbagai pengisian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Menurut beliau, antara pengisian utama ialah ekspo pendidikan, TVET dan keusahawanan yang memberi peluang kepada pelajar serta belia mendapatkan maklumat berkaitan institusi pendidikan dan kemahiran, selain peluang kerjaya yang tersedia.
“Sekarang TVET bukan lagi pilihan kedua, malah sudah menjadi pilihan utama kerana bidang kemahiran menawarkan peluang pekerjaan yang semakin luas.
“Kita mahu pelajar dan belia mendapatkan maklumat yang tepat supaya mereka dapat membuat pilihan pendidikan dan kerjaya lebih awal,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mesyuarat di Pejabat RISDA Samarahan, pada Isnin.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu menambah, dua institusi TVET MARA di Sarawak, iaitu di Bintulu dan Kuching, turut terlibat dalam pengisian GEMA menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta kursus jangka pendek.
Katanya, antara kursus yang ditawarkan termasuk elektrik, penyaman udara dan kimpalan, manakala GIATMARA turut menyediakan program berkaitan automotif, elektrik dan penyelenggaraan motosikal.
Jelas beliau, penglibatan pelbagai institusi kemahiran itu penting bagi memberi pendedahan lebih luas kepada belia mengenai peluang pendidikan dan latihan yang bersesuaian dengan keperluan industri.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar sekolah dan golongan belia di Samarahan serta kawasan sekitar untuk hadir mendapatkan maklumat secara terus sepanjang program GEMA berlangsung. -EDISI UKAS