Sistem Pertanian Hibrid Fertigasi-Hidroponik Berpotensi Diperluas
TANJUNG MANIS: Sistem pertanian hibrid yang menggabungkan kaedah fertigasi dan hidroponik berpotensi diperluaskan di Sarawak bagi mengusahakan pelbagai tanaman termasuk cili dan sayur-sayuran.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh berkata, sistem berkenaan mempunyai beberapa kelebihan berbanding kaedah fertigasi konvensional kerana tidak memerlukan penggunaan pam air dan cocopeat.
“Keistimewaan sistem ini ialah ia tidak memerlukan pam air dan cocopeat seperti sistem fertigasi. Selain itu, kaedah ini cukup ringkas dan senang untuk digunakan serta sesuai untuk kawasan kita di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah TEGAS Project of Dream Realized (Pro-DR) Edisi Ke-11 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, Tanjung Manis pada Isnin.
Sebelum itu, Datuk Len berkesempatan melawat projek penanaman tembikai susu di Tanjung Manis yang menggunakan sistem pertanian hibrid berkenaan.
Menurut beliau, projek tersebut telah dimulakan pada Disember tahun lalu dengan pembangunan enam rumah hijau berkeluasan keseluruhan 4,200 kaki persegi yang menempatkan kira-kira 1,100 pokok tembikai susu varieti ‘Lily’.
Beliau berkata, antara kelebihan sistem tersebut ialah proses penanaman semula yang mudah kerana tidak memerlukan banyak kerja pengalihan atau penyediaan semula tanaman.
Tambah beliau, penggunaan sistem berkenaan turut membolehkan kualiti serta tahap kemanisan buah dikawal mengikut keperluan dan kehendak pasaran.
Katanya, sistem tersebut juga tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai, selain mudah difahami dan dipelajari oleh pengusaha pertanian.
Dalam pada itu, Datuk Len berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha penyelidikan dan pembangunan yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak bagi mengenal pasti kaedah pertanian yang lebih efisien, praktikal dan sesuai dengan keadaan setempat.
Menurutnya, sekiranya hasil kajian menunjukkan sistem tersebut berkesan dan mempunyai potensi komersial, kaedah berkenaan akan diperluas ke kawasan lain di seluruh Sarawak.
Beliau berkata, penggunaan teknologi pertanian moden seperti sistem hibrid fertigasi-hidroponik mampu membantu meningkatkan hasil tanaman, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh serta memberi lebih banyak pilihan kepada petani untuk mengusahakan tanaman secara sistematik dan berdaya maju.
Usaha memperkenalkan sistem pertanian baharu ini juga selaras dengan aspirasi Sarawak untuk memperkukuh sektor agromakanan, meningkatkan pengeluaran hasil tempatan dan menggalakkan penggunaan teknologi dalam aktiviti pertanian. -EDISI UKAS