Generasi Muda Sarawak Perlu Rebut Peluang Pendidikan, STEM & TVET
TANJUNG MANIS: Generasi muda Sarawak perlu merebut peluang pendidikan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disediakan kerajaan bagi mempersiapkan diri menghadapi keperluan industri masa hadapan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh berkata, pelbagai ruang pendidikan, latihan dan pembangunan kini tersedia bagi membantu golongan muda mengembangkan potensi diri serta membina masa depan yang lebih baik.
“Tiada sebab anak-anak masa kini tidak mampu menjadi lebih baik daripada generasi sebelumnya kerana begitu banyak ruang dan peluang telah disediakan oleh kerajaan.
“Oleh itu, apa yang kita tekankan hari ini ialah adanya peluang dan ruang pembelajaran yang baik supaya anak-anak kita dapat berfikir, mempunyai impian, matlamat dan wawasan bagaimana kita dapat membangunkan diri, keluarga, negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah TEGAS Project of Dream Realized (Pro-DR) Edisi Ke-11 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, Tanjung Manis pada Isnin.
Datuk Len berkata, program Pro-DR memberi pendedahan dan akses kepada maklumat pendidikan, latihan serta peluang pembangunan supaya golongan muda dapat membuat keputusan yang tepat berkaitan hala tuju masa depan.
Menurutnya, kemajuan yang dinikmati masyarakat hari ini merupakan hasil usaha generasi terdahulu dan generasi muda kini perlu meneruskan pencapaian tersebut dengan memanfaatkan peluang yang tersedia.
“Melalui program sebegini, semua maklumat dapat dikongsi bersama supaya kita dapat sama-sama membangunkan negeri dan negara kita agar anak cucu kita terus menikmati segala kemudahan yang disediakan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pelajar dan belia di kawasan berkenaan supaya memanfaatkan peluang yang dibawa terus kepada mereka, khususnya dalam bidang pendidikan, kemahiran dan kerjaya.
Sementara itu, Datuk Len berkata perkembangan teknologi, transformasi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) kini mengubah keperluan industri dengan pantas.
Katanya, kerajaan Sarawak memberi tumpuan untuk menterjemahkan perkembangan teknologi tersebut kepada peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan industri baharu.
“Bagi Sarawak, fokus utama kerajaan adalah untuk menterjemahkan kemajuan ini menjadi peluang pekerjaan berkualiti tinggi bagi golongan muda serta menyediakan tenaga kerja yang bersedia untuk industri baharu agar Sarawak kekal berdaya saing di peringkat global,” katanya. -EDISI UKAS