Penyalahgunaan Dadah Perlu Ditangani Secara Tegas & Bersepadu
TANJUNG MANIS: Penyalahgunaan dadah perlu ditangani secara tegas dan bersepadu kerana boleh menjejaskan masa depan generasi muda serta kestabilan masyarakat dan negara.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh berkata, keadaan generasi muda hari ini menjadi cerminan masa depan negara dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Jika kita mahu melihat keadaan negara dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, lihatlah generasi muda kita sekarang. Kalau ramai yang terlibat dengan najis dadah, maka musnahlah negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah TEGAS Project of Dream Realized (Pro-DR) Edisi Ke-11 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, Tanjung Manis pada Isnin.
Datuk Len turut menekankan kepentingan mempelajari sejarah sebagai panduan dan teladan agar masyarakat memahami kesan buruk penyalahgunaan dadah terhadap sesebuah negara.
“Oleh itu, saya menekankan betapa pentingnya sejarah sebagai panduan dan teladan tentang kehancuran sesebuah negara akibat dadah. Dadah boleh melemahkan rakyat dan membuka ruang kepada musuh untuk menakluki negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) berkata, Program Jelajah Pro-DR menjadi platform untuk membawa maklumat berkaitan peluang pendidikan, latihan, bantuan kewangan dan pembangunan ekonomi belia terus kepada masyarakat luar bandar.
Katanya, program berkenaan merupakan kesinambungan Sarawak Career and Training (SCaT) Fair dan pada tahun ini menjelajah 14 lokasi di seluruh Sarawak selama 29 hari dengan penglibatan 45 institusi pendidikan dan latihan, agensi kerajaan serta penyedia bantuan kewangan.
“Jika dahulu anak-anak Sarawak di luar bandar perlu ke bandar besar untuk mencari peluang, kini melalui konsep pusat sehenti atau ‘one-stop centre’ Pro-DR, kita membawa maklumat bantuan kewangan, peluang akademik dan pembangunan ekonomi belia terus ke depan pintu rumah anda,” katanya lagi.
Turut hadir semasa program berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Udin Bujang, Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah, Pegawai SISC Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro Hassim Maliki serta Pengetua SMK Belawai Mohammad Latif Rapilie. -EDISI UKAS