KOTA SAMARAHAN: Program ‘Youth Champion’ sempena Sambutan Minggu Belia Sarawak memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh ketahanan diri golongan muda serta menghapuskan stigma berkaitan isu kesihatan mental.
Program anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) di pekarangan Dewan Suarah Samarahan itu turut menampilkan sesi ‘Hentikan Stigma: Kesihatan Mental untuk Semua’ yang memberi pendedahan mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental.
Pegawai Psikologi (Kaunseling) Bahagian Samarahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Masmida berkata, ketahanan diri merupakan keupayaan individu untuk bangkit semula ketika berdepan cabaran dan kesukaran dalam kehidupan.
Beliau berkata, ketahanan diri boleh diperkukuh menerusi penerapan pemikiran positif yang membolehkan seseorang melihat kegagalan sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki diri.
“Bagi mengukuhkan ketahanan diri, matriks operasinya merangkumi teras minda positif menerusi penerapan ‘growth mindset’ yang membolehkan seseorang melihat kegagalan sebagai satu peluang untuk belajar dan maju,” katanya.
Menurut Masmida, kawalan emosi menerusi kesedaran kendiri turut penting bagi membantu individu mengelakkan tindakan melulu ketika berdepan tekanan atau situasi sukar.
Katanya, sokongan sosial melalui hubungan yang sihat bersama keluarga dan komuniti juga memainkan peranan penting dalam membantu individu membina ketahanan diri.
Selain sesi perkongsian, program tersebut turut menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan mental kepada pengunjung serta kuiz interaktif AZAM MindQuest. -EDISI UKAS