Atlet Sarawak Bawa Nama Negeri, Diseru Jaga Disiplin Sepanjang SUKMA
KUCHING: Atlet Sarawak yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) XXII di Selangor diingatkan supaya sentiasa menjaga disiplin dan tingkah laku kerana mereka membawa nama negeri sepanjang berlangsungnya temasya berkenaan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap atlet perlu menyedari bahawa tingkah laku mereka di luar gelanggang turut mencerminkan imej Sarawak.
Menurutnya, sebagai wakil negeri, atlet juga merupakan duta Sarawak sepanjang berada di Selangor termasuk ketika berada di tempat penginapan, premis makanan, pusat beli-belah dan lokasi awam.
“Adik-adik juga adalah duta Sarawak. Apa yang adik-adik lakukan boleh mengangkat nama Sarawak dan pada masa sama, boleh mencemarkan nama negeri.
“Sebab itulah dalam apa jua yang kita lakukan, sama ada di gerai makan, pusat beli-belah atau dewan makan, kita mesti sentiasa menjaga disiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke Temasya SUKMA XXII dan Para SUKMA XXII Selangor 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Tegasnya, Sarawak bukan sahaja mahu dikenali sebagai kontinjen yang berjaya meraih kejuaraan, malah turut dihormati kerana tahap disiplin dan profesionalisme yang tinggi.
“Kita ingin negeri-negeri lain dan warga Malaysia yang berada di Selangor melihat kontinjen Sarawak sebagai pasukan yang sangat berdisiplin.
“Bukan hanya untuk menjadi pemenang, tetapi kita juga mesti mengekalkan disiplin yang kita ada,” ujarnya.
Beliau berkata, tanggungjawab tersebut bukan hanya terletak di bahu atlet, malah turut melibatkan pegawai kontinjen, Chef de Mission (CDM), Assistant Chef de Mission (ACDM) serta seluruh rakyat Sarawak yang terlibat dalam pengurusan kontinjen.
Tambahnya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan nama baik Sarawak sentiasa terpelihara sepanjang temasya berlangsung. -EDISI UKAS