KUCHING: Land and Survey Sports Carnival (LASSCAR) 2026 bukan sekadar medan persaingan sukan, sebaliknya menjadi platform pembangunan modal insan dalam memperkukuh budaya kerja berpasukan, disiplin dan integriti dalam kalangan warga perkhidmatan awam.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, nilai yang diterapkan menerusi sukan seperti disiplin, kepimpinan, daya tahan, komunikasi dan semangat berpasukan perlu diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas serta amanah di tempat kerja.
“LASSCAR bukan hanya tentang siapa yang menang dan siapa yang kalah. LASSCAR adalah tentang bagaimana kita bermain sebagai satu pasukan yang berintegriti, menghormati lawan, bangkit apabila berdepan kekalahan dan membawa semangat kesamaan itu kembali ke tempat kerja dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan LASSCAR 2026 yang memasuki siri ketiga di Padang Sukan Jubilee di sini pada Selasa.
Menurut Datuk Len, kejohanan seperti itu memberi ruang kepada peserta membina disiplin, mempelajari kepimpinan, menerima kemenangan dan kekalahan serta memperbaiki kelemahan yang kesemuanya merupakan nilai penting dalam membentuk warga kerja berkualiti.
Ujarnya, budaya kerja berpasukan, komunikasi dan kepercayaan antara satu sama lain amat penting bagi memastikan setiap amanah kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kalau kita boleh berdisiplin di padang, kita mesti berdisiplin di pejabat. Kalau kita boleh bekerja sebagai satu pasukan dalam pertandingan, kita juga mesti bekerja sebagai satu pasukan dalam melaksanakan amanah kerajaan," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, budaya hidup aktif dan sihat perlu diteruskan selepas kejohanan bagi memastikan warga kerja bukan sahaja produktif, malah mempunyai tahap kesihatan dan kecergasan yang baik.
Menurutnya, aktiviti fizikal seperti berjalan pantas secara konsisten boleh diamalkan sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat dan budaya kehidupan warga kerja.
Pada masa sama, Datuk Len berkata
pengalaman mengurus serta menyertai LASSCAR 2026 boleh dimanfaatkan sebagai persediaan menghadapi tanggungjawab lebih besar dalam penganjuran Sukan SEA di Sarawak.
Beliau berkata, Sarawak akan menjadi salah satu kluster penganjuran Sukan SEA dari 18 hingga 29 September 2027, dengan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak diberi amanah sebagai bapa angkat kontinjen Thailand.
LASSCAR 2026 melibatkan lebih 1,500
peserta dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS), Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta Lembaga Juruukur Tanah Sarawak.
Dalam acara perbarisan LASSCAR 2026, Kontinjen MUDeNR muncul juara, diikuti Kontinjen JTS Kuching sebagai naib juara, manakala Kontinjen JTS Bintulu menduduki tempat ketiga.
Kejohanan tersebut turut menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan dan semangat kebersamaan antara warga agensi yang terlibat, selain menggalakkan budaya kerja yang lebih sihat dan berpasukan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap MUDeNR Datu Abdullah Julaihi, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood dan Pengarah Ukur Bahagian Pemetaan Topografi Sarawak LSr Sylvester Luta Buli. -EDISI UKAS