XPDC 3.0 Fokus Pantau Projek Infrastruktur Di Ulu Skrang, Ulu Kota & Ulu Entabai
ENGKILILI: Program XPDC 3.0 anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memberi tumpuan kepada pemantauan perkembangan projek-projek infrastruktur khususnya di kawasan Ulu Skrang, Ulu Kota dan Ulu Entabai.
Program yang berlangsung pada 12 hingga 13 Ogos 2026 itu diketuai Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD), Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris serta pegawai teknikal dan agensi berkaitan.
Rombongan memulakan lawatan pada hari pertama dengan meninjau Projek No. 1 Proposed Slope Remedial Works di KM13+800, Ulu Skrang (Q449), diikuti Projek No. 2 Proposed Slope Remedial Works di KM21+900, Ulu Skrang (Q449).
Lawatan seterusnya melibatkan Projek No. 3 Membaik Pulih Jalan Pinchoh, Ulu Skrang (Retender) bagi meninjau keadaan semasa laluan serta perkembangan kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan.
Pada sebelah petang, rombongan meneruskan lawatan ke Projek Jalan Ulu Skrang, Lubok Antu (Fasa 2) yang merangkumi komponen penting seperti Jambatan Menggong dan Jambatan Penabun sebelum bertolak ke tapak projek Ulu Kota.
Lawatan berkenaan membolehkan keadaan sebenar projek ditinjau secara langsung di lapangan, selain mendapatkan taklimat teknikal berhubung status pelaksanaan, cabaran serta perkara yang memerlukan perhatian lanjut.
XPDC 3.0 turut memperlihatkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan projek pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya komuniti di kawasan Ulu Skrang dan sekitarnya.
Lawatan lapangan seperti ini juga menjadi platform penting untuk menilai kemajuan projek secara langsung serta memastikan isu-isu teknikal dan keperluan setempat dapat dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri MIPD Datuk Ir Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnichal Rayong dan Setiausaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yau. -EDISI UKAS