SYCIF Showcase Serlah Bakat Muda, Potensi Industri Fesyen Lestari Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Sarawak Youth Creative Industry Fund (SYCIF) Showcase Sustainable Fashion Show menjadi medan penting dalam mempertemukan bakat muda dan alumni, selain memperlihatkan potensi industri fesyen Sarawak untuk berkembang seiring dengan tuntutan kelestarian serta inovasi masa kini.
Program anjuran Kolej Komuniti Kuching dengan kerjasama Alumni Kolej Komuniti Kuching sempena Minggu Belia Sarawak 2026 pada Rabu itu bukan sekadar menampilkan rekaan yang menarik dari segi estetika, malah membawa mesej penting mengenai kepentingan menjaga alam sekitar menerusi penghasilan fesyen yang lebih bertanggungjawab dan lestari.
Sebanyak lima kumpulan pereka muda Kolej Komuniti Kuching, masing-masing terdiri daripada empat pereka iaitu Re:Form, Mania X, Nocturn, The Coutrio dan Wastelust, mempersembahkan koleksi dengan konsep dan identiti tersendiri.
Empat kumpulan pereka alumni Kolej Komuniti Kuching iaitu TZ Collection, My Studio, Borneo Bloom serta Effa Shiari X Nanie Stitches turut mengambil bahagian, dengan masing-masing mengetengahkan kreativiti dan pengalaman dalam dunia fesyen.
Program tersebut membuktikan bahawa konsep kelestarian mampu diterjemahkan dalam bentuk fesyen yang kreatif, unik dan mempunyai nilai komersial, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada anak muda untuk meneroka industri kreatif sebagai bidang kerjaya dan keusahawanan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Kolej Komuniti Kuching, Elfy Fariza Sharkawi kepada pereka muda dan alumni Kolej Komuniti Kuching sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, usaha serta kreativiti yang dicurahkan dalam menjayakan peragaan tersebut.
Kemuncak program menyaksikan pengumuman Anugerah Best Design Pereka Muda Kolej Komuniti Kuching, yang diberikan kepada rekaan yang berjaya menyerlahkan kreativiti, keunikan serta penghayatan paling kuat terhadap tema kelestarian alam sekitar.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Bersatu Alumni Kolej Komuniti Kuching, Suria Deresa; Penolong Pegawai Daerah Sebuyau, Louis Barieng serta wakil Pegawai Daerah Samarahan, Siti Zaharah Mohamad Mohmood.-EDISI UKAS