Penyeliaan Projek ART Diperkasa, Elak Gangguan Infrastruktur Utiliti
KUCHING: Penyeliaan projek Transit Aliran Autonomi (ART) akan dipertingkat bagi memastikan kerja pembinaan tidak menjejaskan kemudahan utiliti serta kepentingan pengguna.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, semua pihak terlibat termasuk Sarawak Metro, perunding dan kontraktor berkaitan perlu meningkatkan penyeliaan memandangkan koridor pembinaan ART turut melibatkan kemudahan asas seperti paip air, kabel elektrik dan telekomunikasi.
“Saya berharap Sarawak Metro bersama-sama konsultan dan kontraktor yang berkaitan dapat meningkatkan penyeliaan di tapak pembinaan ART di sini kerana masih terdapat banyak jajaran yang melibatkan kemudahan asas seperti paip air, kabel elektrik dan kabel telekomunikasi yang berada dalam jajaran yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat lokasi paip pecah dan kerja baik pulih di Jalan Tun Jugah, di sini, pada malam Rabu.
Menurut Dato Sri Julaihi, paip berdiameter 840 milimeter yang terjejas di jalan berkenaan merupakan paip yang telah dipindahkan ke jajaran baharu, namun kerja cerucuk yang dijalankan tidak dapat membezakan antara jajaran lama dan baharu.
Beliau berkata kejadian berkenaan turut memberi kesan kepada pengguna apabila bekalan air terputus, selain memerlukan proses ‘flushing’ bagi membersihkan sistem daripada kotoran yang memasuki paip.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak Water telah diarahkan menyediakan lori tangki secukupnya bagi membekalkan air terawat kepada kawasan yang terjejas, manakala Sarawak Metro dan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) diminta membantu mendapatkan lori tangki tambahan sekiranya diperlukan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Ts. Mazli Mustaffa dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Malseni Jamal.-EDISI UKAS